Tuesday, February 12, 2008

TAKEN FROM MEDIA PERMATA

Isnin, 11 Februari 2008

LLRC mula buka mata lawan

Oleh H J Rahim

Haji Effendy.

Zunira.

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - NAMA yang asing dlam bola sepak negara apatah lagi dalam liga Brunei, LLRC FT, tiba-tiba meledak dan kini mula meniti di bibir penggemar sukan itu.

LLRC, singkatan kepada Kelab Rekreasi Liang Lumut, baru 'setahun jagung' namun pencapaian mereka dalam Piala Liga apabila layak ke separuh akhir sudah menampakkan bibit-bibit watak sebenar mereka selaku pencabar tulen DSTGroup Liga Perdana Brunei.

Malah apa yang tidak dijangka daripada pasukan Perdana Dua itu ialah mereka diuruskan Zunira Haji Abd Kamis - satu-satunya pengurus wanita daripada 20 pasukan yang bertanding dalam liga kebangsaan.

Kemaraan ke separuh akhir untuk bertemu pasukan handalan Perdana Satu, MS ABDB, dalam Piala Liga pada 18 Februari ini pastinya dinantikan peminat bola sepak apakah LLRC mampu melakar satu lagi sejarah setelah bergelar 'pasukan pembunuh'.

Mereka mula menayangkan taring di pusingan pertama apabila menyingkirkan kelab sesama Perdana Dua, Kota Ranger sebelum menumpaskan AM Gunners di pusingan kedua. Kejayaan itu menjadi inspirasi apabila LLRC memahat sejarah baru mereka dengan menjinakkan kelab Perdana Satu, Wijaya FC di suku akhir.

LLRC kini di tangga kedua Perdana Dua di belakang Lun Bawang.

Menerusi bimbingan Haji Effendy Julaihi, skuad ini sudah mampu memberi amaran kepada pasukan ternama malah berpotensi cerah layak ke Perdana Satu musim depan.

"Barisan kami terdiri daripada anggota kelab LLRC sendiri yang rata-rata merupakan pemain muda bersemangat tinggi namun kami sedar kempen ini masih jauh dan memerlukan segala kudrat dan pengalaman," kata Zunira yang yakin mereka mampu mencipta nama dalam DSTGroup Liga Perdana Brunei.

Mungkin ada yang memandang sinis Zunira kerana statusnya sebagai seorang hawa namun jangan diperkecilkan kerana beliau sendiri merupakan bekas pemain bola sepak wanita yang mewakili kelab Flamengos.

Dan kerana minat mendalam dalam sukan ini, Zunira menerima lantikan sebagai pengurus LLRC.

Menurutnya, anak buahnya bukanlah pemain berpengalaman jika dibandingkan dengan 'skuad-skuad lama' liga tempatan tapi kejayaan layak selaku empat pasukan terakhir Piala Liga adalah pencapaian membanggakan bagi mereka.

Bagi Zunira, persefahaman tidak menjadi masalah bagi kerana mereka sebuah pasukan yang akrab.

Namun apa yang bersarang di benaknya sekarang ialah tahap stamina dan kekonsistenan pemainnya untuk meredah musim yang masih panjang, apatah lagi bakal bertarung dengan ABDB - ujian paling besar mereka setakat ini - kerana skuad tentera itu memang terkenal dengan kecergasan stamina selama 90 minit.

Menurut Haji Effendy, LLRC menyertai Perdana Dua menerusi permohonan selepas banyak pasukan menarik diri.

Mereka merupakan antara tiga pasukan baru dalam divisyen itu selain AM Gunners dan Menglait FC.

 

blogger templates | Make Money Online