Tuesday, February 12, 2008

TAKEN FROM MEDIA PERMATA 11FEB 2008


Penalti ranapkan impian LLRC bawa balik tiga mata
Oleh H J Rahim

Pemain LLRC (tengah) diasak dua pemain Perkasa dalam perlawanan Perdana Dua.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - LLRC FC berjaya membawa pulang satu mata apabila berkongsi jaringan 4-4 dengan Perkasa pada persaingan Perdana Dua DSTGroup Liga Perdana Brunei di Padang dan Balapan Berakas, petang ini.

Sekalipun menampilkan persembahan menarik dengan saling berbalas serangan namun permainan lebih banyak diwarnai aksi keras yang mencacatkan mutu perlawanan.

LLRC lebih awal meraih jaringan menerusi Safuan Juhar yang bijak menewaskan penjaga gol Perkasa hasil sepakan penalti di minit keempat tapi Perkasa pantas menyamakan kedudukan menerusi rembatan Saifuny Sawal tujuh minit kemudian.

Aksi bertambah rancak apabila LLRC kembali di depan melalui sentuhan Md Azri Jebri di minit 20 setelah beliau melepasi perangkap ofsaid untuk membuat penyudah sempurna.

Safuan terus melebarkan kedudukan di minit ke-27 tapi Saifuny sekali lagi menampilkan penyudah kemasnya untuk kedudukan 2-3 menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang melantun ke tiang sebelum menerjah gawang.

Babak kedua terus meriah dengan kebangkitan Perkasa sehingga Saifuny merayakan petang cerianya dengan jaringan hatrik di minit 56.

Md Azri menjarakkan semula keputusan buat LLRC ketika permainan berbaki lapan minit namun tatkala tiga mata sudah hampir dalam genggaman, penalti pula menjadi pemusnah impian skuad dari Lumut itu apabila Md Yakub Takong menyudahkan sepakan pada tiga minit terakhir.

 

blogger templates | Make Money Online