Thursday, January 28, 2010

Oleh HJ Rahim
Pengadil tidak teragak-agak memberi sepakan penalti kepada LLRC.

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad - Jaringan tunggal Safwan memastikan pasukan LLRC FC terus kukuh di tangga teratas Perdana II Liga Brunei DST Group pada perlawanan menarik di Kompleks Sukan Berakas, petang tadi.
"Sekalipun hanya menang satu jaringan. Ia sudah cukup untuk mengukuhkan kedudukan pasukan kita dalam Perdana II. Ia sangat berharga di kala persaingan yang semakin mencabar," jelas pengurus pasukan LLRC, Zunira Haji Abd Kamis.
Katanya, pemain melangkah berhati-hati berdepan dengan pasukan Lun Bawang yang juga berusaha mencari mata untuk memperbaiki kedudukan bagaimanapun kedua-dua pasukan bijak mengawal gawang masing-masing.
Kemenangan LLRC diperolehi menerusi sepakan penalti oleh Safwan di minit ke-19 apabila pemain lawan membuat asakan keras di dalam kotak penalti.
Zunira berharap kemenangan itu akan terus menyuntik semangat anak buahnya untuk menepati sasaran bagi melangkah ke Perdana I musim lalu sekali gus mencipta satu lagi perkembangan baik skuad berbanding penyertaan mereka musim lalu.
"Kita akan memfokuskan tahap kecergasan semua pemain bagi baki dua perlawanan akan datang. Saya yakin pemain-pemain akan berjaya mengekalkan dan seterusnya meningkatkan reputasi baik terutama dalam memantapkan lagi corak persembahan mereka," ujarnya.

 

blogger templates | Make Money Online